عن ابن مسعود رضى الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لعن الله الواشمات والمستوشمات والمتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله
(متفق عليه)
Maksudnya: Daripada Ibnu Mas’ud r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w : Allah melaknat perempuan yang membuat tatu dan yang meminta di buat tatu, yang mencukur alis, yang menjarangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.
HuRAIAN rINGkaS
Dalam hadith di atas, Rasulullah s.a.w menjelaskan perbuatan-perbuatan yang dilarang dan dilaknat oleh Allah. Perbuatan-perbuatan tersebut ialah membuat tatu, mencukur alis, menjarangkan gigi, dan perbuatan-perbuatan mengubah ciptaan Allah termasuk pembedahan plastic untuk kecantikan, menukar jantina dan sebagainya. Perbuatan ini dilarang kerana ia merupakan amalan bermegah-megah, melanggar fitrah dan merosakkan anggota badan.
Setiap muslim beriman wajiblah menjaga tubuh badannya dengan baik dan sempurna. Mereka dilarang mengubah suai serta menghiasnya dengan tujuan yang diharamkan oleh Allah. Perbuatan mengubahsuai ciptaan Allah datangnya daripada syaitan yang sentiasa menghasut manusia. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan Demi sesungguhnya, Aku (syaitan) akan menyuruh dan menyesatkan manusia (dari kebenaran), dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata.
(Surah an-Nisa’: 119)
LaRaNgaN yanG tErDApAT DAlam HadIth.
1- Membuat Tatu
Tatu ialah membuat tanda atau lukisan pada mana-mana anggota tubuh secara kekal seperti muka, lengan dan belakang. Ia dibuat dengan menggunakan warna-warna tertentu dengan menusuk-nusuk jarum pada anggota badan.perbuatan ini adalah haram dan dilaknat oleh Allah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi :
عن ابن عمر رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لعن الواصلة والمستوصلة والواشمة والواشرة والمستوشرة
(متفق عليه)
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung dan yang meminta disambung rambutnya, perempuan yang membuat tatu, yang mengasah gigi dan yang meminta diasah giginya.
2- Menjarangkan gigi
Termasuk perbuatan yang dilarang dalam hadith ialah menjarangkan gigi atau mengasah gigi. Perbuatan jni dilarang kerana ia mempunyai unsur penipuan dan menghias diri yang berlebihan. Walaubagaimanapun, terdapat pengubahan yang diharuskan seperti memperbaiki gigi yang rosak, sumbing dan sebagainya, yang bertujuan untuk perubatan dan pemulihan.
3- Mencukur alis
Amalan mencukur alis, mencabut atau menghilangkannya dengan apa cara sekelipun adalah haram dan termasuk dalam perkara yang dilaknat oleh Allah dalam hadith.
PERkaRa-pErKArA yANG TErmAsUk DAlaM mEnGuBaH cIPTaan ALLAH
1- Menyambung rambut
Antara cara yang dilakukan oleh kaum wanita untuk menghias diri ialah menyambung rambut. Mereka menggunakan rambut atau sesuatu yang menyerupai rambut di kepala. Perbuatan ini diharamkan oleh Allah s.w.t sama ada wanita itu sendiri yang melakukannya atau dilakukan oleh orang lain seperti juru andam dan juru solek. Perbuatan menyambung rambut ini haram kerana ia mengandungi unsur-unsur penipuan dan mengubah ciptaan Allah. Termasuk dalam larangan menyambung rambut ialah perbuatan menanam rambut di kepala, memakai rambut palsu dan termasuk cara-cara lain yang dilakukan oleh sesetengah orang pada zaman sekarang.
2- Mewarna rambut
Mewarna rambut ialah mengubah warna rambut dengan menggunakan bahan-bahan yang tertentu. Perbuatan mewarna rambut pada asalnya diharuskan dalam Islam. Antara bahan-bahan yang diharuskan ialah inai dan katama. Penggunaan bahan-bahan pewarna dan pencelup yang berleluasa sekarang dalam masyarakat perlulah diambil perhatian yang sewajarnya. Bahan-bahan yang digunakan mestilah suci dan halal dan tidak menghalang air dari sampai ke rambut apabila mengangkat hadas besar.
عن أبي ذر رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ....ان أحسن ما غيرتم به الشيب : الحناء والكتم
(رواه الترمذى وأصحاب السنن)
Maksudnya: Daripada Abu Dzar r.a , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah inai dan katama( sejenis tumbuhan yang mengeluarkan getah berwarna hitam. Ia boleh digunakan untuk mencelup rambut dan membuat dakwat.)
3- Mengubah anggota badan
Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).
(Surah at-Tiin :4)
Manusia perlu bersyukur di atas anugerah kejadian yang sempurna. Antara tanda bersyukur ialah tidak mengubah suai bentuk mana-mana anggota tubuh dengan berbagai cara. Antara cara tersebut ialah melakukan pembedahan dan pemindahan anggota badan.
Islam menharamkan sebarang usaha pengubahsuaian anggota badan terutamanya yang dilakukan semata-mata untuk kecantikan. Walaubagaimanapun pembedahan untuk memulihkan kecacatan atau menggantikan anggota yang tidak berfungsi adalah harus, antaranya:
3.1- Pemindahan organ
i. Memindahkan anggota badan manusia yang diambil daripada orang yang hidup atau mati seperti pembedahan pemindahan mata, jantung dan buah pinggang lepada orang yang memerlukannya.
Menurut fatua Sheikh Al-Hasanin Makhluf, bekas Mufti Mesir, pembedahan ini diharuskan dengan beberapa syarat:
- Dipastikan dahulu tentang kematian orang yang menghadiahkan anggotanya oleh doctor yang amanah.
- Yakin tentang kejayaan pemindahan tersebut dan tidak berdasarkan sangkaan sahaja
- Benar-benar berada dalam suasana darurat
- Pembedahan dan pemindahan dilakukan dengan penuh telita, cermat dan berhati-hati.
- Mendapat keizinan ahli waris
ii. Pembedahan pemindahan anggota manusia yang diambil dari binatang yang ada persamaan dengan manusia seperti monyet ( cimpanzi). Hukumnya adalah di haruskan dalam Islam, kerana tidak ada dalia yang jelas tentang pengharamannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya
( Surah Al-Jaathiah: 13)
Pengertian 'sakhhara' dalam ayat bermaksud kemudahan dan faedah untuk manusia. Allah menjadikan apa yang ada di langit dan di bumi untuk kemudahan dan faedah bagi manusia. Apa-apa yang mendatangkan faedah dan kebaikan kepada manusia termasuk pembedahan adalah diharuskan walaupun dari anggota binatang kecuali anjing dan babi.
3.2- Pembedahan plastik
i. Harus dengan tujuan perubatan dan pemulihan seperti mengambil kulit peha untuk menutupi kulit muka yang terbakar, kulit kepala menggantikan bibir mulut yang rosak dan sebagainya.
ii. Haram dengan tujuan kecantikan semata-mata.
4. Lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya
Antara perkara yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w ialah lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. Allah menciptakan manusia samada lelaki dan perempuan untuk saling melengkapkan diantara satu sama lain. Setiap ciptaan Allah mempunyai hikmah dan rahsia yang kadang-kadang tidak dapat diketahui oleh ilmu dan akal manusia yang terbatas. Perbuatan yang keji dan tidak bertamadun ini berlaku secara berleluasa dalam masyarakat hari ini tanpa segan silu. Antara hadith Rasulullah s.a.w yang melarang dan melaknat perbuatan yang keji ini ialah:
عن ابن عباس رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لعن الله المخنثين من الرجال والمترجلات من النساء
(رواه البخاري)
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w, Allah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki.
KAEDAH MENGISTINBATKAN HUKUM
Ulama’ mengistinbatkan hukum haram membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, mencukur alis, menjarangkan gigi untuk kecantikan dan yang mengubah ciptaan Allah berdasarkan kepada perkataan “لعن” dalam hadith Ibnu Abbas. Perkataan “لعن” membawa maksud laknat, iaitu Allah melaknat dan melarang perbuatan tersebut degan larangan yang pasti. Ia membawa hukum haram melakukannya.
Termasuk di dalam hukum haram dan perbuatan yang dilaknat ialah perbuatan menyambung rambut, mewarnakannya dengan bahan yang najis, pembedahan plastik atau organ yang dilakukan untuk kecantikan semata-mata dan lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya. Semua perbuatan tersebut adalah haram dilakukan kerana termasuk di dalam mengubah ciptaan Allah seperti yang dijelaskan oleh hadith.
HIKMAH LARANGAN
1. Mengubah kejadian Allah yang asal
2. Meahirkan perasaan sombong dan takabur
3. Tidak mensyukuri nikmat Allah
4. Terdapat unsur penipuan dan kepalsuan
5. Menyerupai amalan orang kafir
6. Menjejaskan kesihatan dan memudaratkan anggota tubuh
7. Bukan budaya hidup Islam
PENGUBAHAN YANG DIBENARKAN
1. Memakai inai dengan tujuan berubat hukumnya adalah sunat
2. Pembedahan mata untuk memulihkan penglihatan
3. Pembedahan jantung bertujuan untuk menyelamatkan nyawa
4. Pembedahan buah pinggang untuk mengembalikan proses perkumuhan
5. Membaiki gigi yang rosak sama ada menanam, menyamakan, dan sebagainya untuk keselesaan.
PENGUBAHAN YANG DI HARAMKAN
1. Pembedahan plastik untuk kecantikan semata-mata
2. Mengubah jantina
3. Mencabut atau mencukur bulu kening
4. Membesarkan payu dara
5. Memakai susuk.
PENGHAYATAN
1. Sentiasa bersyukur dan menghargai ciptaan Allah.
2. Sentiasa redha dengan kejadian diri
3. Sentiasa yakin bahawa Allah sebaik-baik Pencipta
4. Sentiasa menjauhkan diri dari sifat sombong dan takabur.
6 comments:
salam.sy minta izin nk copy sume artikel sal mengubah ciptaan tuhan ni. syukron.
salam mod..nk mitak izin share ni..leh ek..nk kongsi ngn member2..
nnt saya letakkan sumber atau kredit ye..
Celoteh Abg's
assalamualaikum...mita copy ye...tok kerja kruss
Salam..ape pandangan ustaz dengan 'mengubah' ciptaan Allah secara semulajadi? Apa yang saya maksudkan ialah senaman dan pemakanan.Jika kita bersenam seperti angkat berat,otot di tubuh badan kita akan bertambah dan menjadi besar.Sekarang ini juga ada kajian mendapati tubuh badan manusia berpontensi menjadi lebih tinggi dengan menggunakan kaedah senaman seperti teknik regangan walaupun sudah mencapai usia dewasa.Apakah pandangan ustaz dalam perkara ini?
Asalamualikum sye nak mintak copy ini artikel ini untuk satu teguran
salam. mintak copy
Post a Comment