Penggunaan botox untuk lebih muda diharam kerana ada bahan bernajis, berbahaya dan berunsur penipuan
ISLAM melarang keras pembedahan plastik yang dilakukan untuk mengubah ciptaan asal bahagian tubuh manusia seperti diciptakan Allah SWT dengan alasan untuk kelihatan cantik selain bertujuan kosmetik.
Penulis buku ‘Pembedahan Kosmetik Menurut Perspektif Islam’, Ahmad Dahlan Salleh, berkata pembedahan plastik dan kosmetik hanya dibenarkan Islam untuk tujuan perubatan dan kesihatan semata-mata manakala tujuan selain itu tidak dibolehkan serta haram mengikut syariat Islam.
Katanya, antara tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.
“Contohnya jika seseorang yang cacat seperti mulut sumbing, ia masih dibenarkan Islam untuk dilakukan pembedahan plastik terhadapnya dan ia tidak dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah SWT.
“Ini disebabkan kejadian wajah manusia normal, mulutnya adalah tidak sumbing dan dengan menjalani pembedahan membetulkan sumbing itu, ia mengembalikan keadaan mulut kepada kejadian manusia normal,” katanya yang juga Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Univesiti Kebangsaan
Keadaan lain yang dibenarkan syarak adalah pembedahan plastik itu dilakukan untuk memulihkan kesihatan seseorang yang sebelum ini sering terganggu atau semakin mudarat.
“Contoh kepada syarat ini adalah jika lubang hidung seseorang itu terlalu sempit sehingga menyukarkannya untuk bernafas, maka dibolehkan untuk individu itu menjalani pembedahan bagi memperbesarkan lubang hidungnya.
“Tetapi jika dia ingin menjalani pembedahan sekadar untuk meninggikan lagi batang hidungnya konon supaya kelihatan cantik, maka perbuatan itu berdosa dan tidak dibenarkan,” katanya.
“Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.’
“Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”
Ahmad Dahlan berkata, maksud kepada firman Allah itu adalah haram untuk manusia memburukkan fitrah kejadian dengan mengubah apa jua yang ditetapkan Allah.
“Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah’ iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya,” katanya.
Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan produk kosmetik botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.
“Keadaan ini boleh menyebabkan bahaya dalam proses mualamat (bermasyarakat) kerana seseorang penjahat mungkin boleh terlepas jika dia mengubahsuai muka atau bahagian anggota (sehingga identiti fizikalnya tidak lagi dapat dikenal pasti),” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Syariah FPI-UKM, Prof Madya Dr Mohd Nasran Mohamad
berkata, selain pembedahan plastik, individu yang menggunakan produk kosmetik juga terdedah kepada dosa jika menggunakan bahan yang mengubah ciptaan Allah dengan tujuan bukan kesihatan, memiliki unsur penipuan selain menggunakan bahan bernajis dan berbahaya.
“Menggunakan silikon untuk memperbesarkan payu dara juga diharamkan kerana ia berbahaya selain bukan untuk tujuan kesihatan. Botox pula haram bukan saja kerana bahan digunakannya bernajis dan berbahaya tetapi ia memiliki unsur penipuan,” katanya.
Dr Nasran bagaimanapun berkata, bagi sesiapa yang sudah melakukan pembedahan plastik, menggunakan bahan berbahaya seperti silikon atau membuat tatu, mereka tidak perlu mengeluarkan bahan itu atau menjalani pembedahan untuk mengembalikan bentuk asal jika prosedur itu mendatangkan mudarat.
“Sebaliknya mereka perlu bertaubat dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak lagi mengulangi perbuatan dosa itu,” katanya.
FAKTA: Pembedahan kosmetik dan plastik
· Tujuan dibenarkan ialah jika tidak dilakukan akan mendatangkan mudarat kesihatan kepada individu, mengembalikan kecacatan kepada bentuk kejadian manusia normal.
· Tujuan yang tidak dibenarkan untuk kelihatan lebih cantik, pembedahan mendatangkan lebih bahaya dan memudaratkan.
· Syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam: memiliki keperluan tidak bercanggah syariat untuk melakukan pembedahan; untuk tujuan kesihatan semata-mata dan tiada niat lain; mesti diakui doktor Islam dan pakar dalam bidang itu; doktor yakin pembedahan boleh berjaya dilakukan tanpa risiko bahaya dan mudarat; mendapat persetujuan pesakit dan wali.
· Peraturan umum kecantikan Islam: tidak mengubah ciptaan Allah; tidak memudaratkan diri seperti kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya saja; mengikut syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam.
0 comments:
Post a Comment